16 Mei datang lagi...
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, aku terpikir sejenak..mengimbau kembali sejarah ketika aku di bangku sekolah dulu..kenangan-kenangan yang tidak mungkin akan aku lupakan walaupun kini usia aku hampir mencecah 22 tahun..
Pernah seketika dahulu aku ditampar oleh guru dan bukuku dikoyak di hadapan khalayak ramai kerana tidak dapat menyiapkan kerja sekolah. Pernah juga aku disuruh berlari di padang sebanyak 3 pusingan akibat daripada tidak memakai lencana dan datang lewat ke sekolah. Pernah juga aku diminta berdiri di atas kerusi sehingga tamat pelajaran akibat daripada tidak menjawab soalan Matematik. Pernah juga aku disuruh jalan itik di luar kelas kerana tidak dapat menjawab soalan mata pelajaran Sains. Pernah juga aku dirotan di dalam bilik disiplin kerana "lompat pagar" semata-mata ingin membeli makanan dan minuman di luar sekolah dan pernah juga aku dibaling dengan "duster" kerana bercakap ketika guru sedang mengajar. Dan banyak lagi kenangan-kenangan yang tidak mampu aku tulis tetapi kenangan tersebut tetap akan diingati sampai bila-bila.
Namun, semua yang berlaku atas diriku tidak pernah sesekali pun aku mempunyai rasa dendam dan tidak menyukai guru tersebut. Memang aku akui, aku seorang pelajar yang sangat nakal dahulu. Walau bagaimanapun, bila usia sedang menginjak dewasa, aku belajar menjadi seorang pelajar yang menghormati guru dan tidak melupakan jasa mereka. Aku tidak mahu mengulangi lagi kesalahan-kesalahan yang pernah aku lakukan dahulu. Pernah menyakiti hati guru yang berusaha untuk memberi sepenuh tunjuk ajar di dalam dan di luar kelas. Tidak pernah menghiraukan penat lelah mereka dan sering mempersendakan mereka ketika mereka sedang mengajar serta sering berkata "Bosanlah cikgu bila nak abis nie". Tapi sekarang aku sedar, bumi ini berputar dan setiap apa yang kita lakukan pada suatu ketika dahulu sama ada baik mahupun buruk akan dibalas dalam tempoh masa yang dekat mahupun lambat. "What goes around comes around" dan inilah dipanggil hukum karma. Pengalaman aku ketika menjadi guru praktikum di sekolah, aku diminta mengajar 6 buah kelas. Melalui pengalaman ini, barulah aku menyedari menjadi seorang guru bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Aku juga sedar bahawa bagaimana perasaan seorang guru apabila murid-muridnya tidak mendengar kata-kata guru dan bercakap-cakap ketika guru sedang mengajar di samping mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan kepada guru mereka.
Segala kenangan itu akan aku sematkan di hati dan tidak mungkin luput walau ditelan zaman. Aku bersyukur pada hari ini aku menjadi manusia yang bakal mendidik manusia menjadi insan yang berguna kelak. Tanpa didikan seorang guru dan juga sokongan serta dorongan daripada kedua ibu bapaku siapalah aku di atas muka bumi ini. TERIMA KASIH Allah, ma, abah dan cikgu-cikgu semua.



No comments:
Post a Comment